Tadika & Taska Hikmah YPJ

PENGENALAN

Tadika Hikmah Yayasan Pelajaran Johor (THYPJ) telah ditubuhkan pada penghujung tahun 1998 hasil cetusan idea daripada Kerajaan Negeri Johor dan kerjasama jitu dari semua tenaga kerja Syarikat Kumpulan Pendidikan YPJ Sdn. Bhd. Dalam tempoh tahun pertama beroperasi, THYPJ telah mempunyai empat cawangan iaitu tiga buah di sekitar Johor Bahru dan sebuah lagi di Parit Bunga, Ledang dengan jumlah murid seramai 238 orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 119 orang murid telah berjaya menamatkan persekolahan mereka di Majlis Konvokesyen kali pertama pada 20 November 1999.

THYPJ terus berkembang dengan membuka sebuah lagi cawangan di Taman Tampoi Utama pada tahun 2001, di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi pada Januari 2003 dan di Parit Ibrahim, Pontian pada tahun 2004. Seterusnya, pada tahun yang sama, THYPJ telah menambah lagi perkhidmatannya bagi penjagaan kanak-kanak dari usia 2 bulan hingga 12 tahun dengan menubuhkan Taska Hikmah YPJ di cawangan Taman Tampoi Utama. Manakala Program Pembangunan Usahawan THYPJ telah diperkenalkan kepada para usahawan bumiputera yang berminat dengan pendidikan awal kanak-kanak ini bermula tahun 2008 dengan tambahan tiga buah cawangan lagi di Johor Bahru iaitu Taman Kota Masai, Bandar Baru Kangkar Pulai dan Taman Pulai Indah.

 

VISI

Menjadi sebuah institusi pendidikan prasekolah yang berteraskan islam, dinamik, unggul dan mempunyai kurikulum yang seimbang serta berdaya maju.

 

MISI

Menyediakan sebuah institusi pendidikan prasekolah yang unggul di setiap daerah di Negeri Johor dengan sistem pendidikan yang cemerlang bagi melahirkan generasi islam yang berilmu dan berakhlak terpuji.

 

OBJEKTIF

Melahirkan kanak-kanak yang pintar dan berketrampilan serta mampu mengurus diri, membaca, menulis dan mengira sebelum menceburi alam persekolahan sebenar dengan pendedahan awal mengenai asas 3M.

Menghasilkan kurikulum mantap dan sentiasa relevan dengan arus perkembangan teknologi pendidikan prasekolah yang boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat dan akhirnya menjadi model contoh kepada organisasi lain.

Mewujudkan Tadika dan Taska Hikmah YPJ di setiap daerah di Negeri Johor yang mamp memberikan kemudahan pendidikan prasekolah serba lengkap dan pusat asuhan kanak-kanak dengan kemudahan penjagaan yang berpengalaman serta terlatih.

Menyuburkan emosi kanak-kanak kepada alam pembelajaran serta mendedahkan diri kanak-kanak kepada menerima asuhan dan didikan dari ibubapa, guru dan masyarakat umum.

Melahirkan masyarakat yang beriman, berkemahiran, berilmu, bekerjasama, menghargai hak dan kebolehan orang lain, hormat-menghormati dan berakhlak terpuji.