Graduan KYPJ Berpotensi Ke Sektor Hospitaliti Perkapalan Antarabangsa

KOTA TINGGI 26 Feb - Akademi Laut Malaysia (ALAM) dan beberapa syarikat pembekal krew perkapalan antarabangsa yang mengadakan lawatan kerja ke Kampus Induk Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) di sini baru-baru ini secara dasarnya bersetuju menjalin kerjasama bagi menempatkan para pelajar kolej tersebut ke dalam pekerjaan hospitaliti perkapalan.

Ketua Pegawai Eksekutif ALAM, David Fredrick memberitahu pihaknya terlebih dahulu akan merangka beberapa syarat termasuk kaedah latihan yang perlu dijalani pelajar KYPJ sebelum persefahaman bersama mengenainya ditandatangani.

Lawatan David Fredrick itu turut disertai Syarikat Singhai Marine Services yang beribu pejabat di Shanghai, Cina diketuai Pengarah Urusannya, Terence Zhao Wei dan  Yes Maritime Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya Kapten Sathasivam N.K.

Singhai Marine merupakan syarikat pembekal pegawai dek dan krew kapal dalam pelbagai bidang kepada lebih 40 syarikat perkapalan antarabangsa melibatkan kapal-kapal persiaran, kapal tangki, kapal LPG, LNG dan kapal kontena antaranya seperti MAERSK Tankers, MISC, Costa, AET Tankers, Star Cruises Pte Ltd, Komaya Shipping Co dan lain-lainnya.

Rombongan tersebut telah diberi taklimat mengenai operasi KYPJ oleh Ketua Bahagian Korporat dan Pemasaran Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) Rahman Sukhairi sebelum dibawa melawat ke Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan (SHP) KYPJ yang merupakan antara terunggul di selatan tanahair.

Rombongan agensi perkapalan itu juga dibawa meninjau kemudahan yang terdapat di SHP seperti dapur komersial, dapur Melayu, pastri, Garde manger (cool kitchen), Bar and pantry,  mock up hotel room selain melihat sesi kuliah para pelajar yang sedang berjalan.

David berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan lepasan SHP ke bidang krew perkapalan antarabangsa memandangkan kerjaya tersebut kini semakin mendapat permintaan tinggi di kalangan syarikat-syarikat perkapalan di seluruh dunia.

Beliau yang berpuashati dengan kemudahan yang terdapat di SHP berharap para pelajar SHP dapat menyahut cabaran untuk bekerja di laut di dalam kapal-kapal yang jauh berbeza suasananya daripada bekerja di hotel-hotel dan pusat peranginan.

``Sahutlah cabaran ini dan rebutlah peluang dengan bekerja di bidang hospitaliti dan penyediaan makanan di sektor perkapalan, ia mencabar dan menyeronokkan,’’katanya yang mahu melihat ramai anak tempatan berkemahiran bekerja di laut.

Jika kerjasama ini menjadi realiti, difahamkan lepasan SHP perlu menjalani beberapa siri latihan di SHP dan juga di ALAM di bawah tajaan syarikat pembekal krew kapal yang berminat sebelum dibekalkan ke syarikat-syarikat perkapalan antarabangsa yang memerlukan krew dalam bidang hospitaliti.

Klik untuk lihat gambar.