Kampus induk universiti KPYPJ RM35j siap 2011
Utusan Malaysia, Jumaat 18 April 2008

 

 

JOHOR BAHRU 17 April - Johor akan memiliki universiti sendiri apabila kampus induk fasa pertama Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) yang bernilai RM35 juta siap dibina di Jalan Kulai-Kota Tinggi pada tahun 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang berkata, pembinaan kampus yang terletak di kawasan seluas 40 hektar itu dijangka dapat menampung kira-kira 5,000 penuntut dalam satu-satu masa berbanding ketika ini hanya 2,100 orang.

"Pada dasarnya segala kelulusan dasar termasuk pelan pembangunan dan reka bentuk telah pun diluluskan. Kami menjangkakan upacara pecah tanah sebagai tanda bermulanya pembinaan akan dilakukan hujung tahun ini.

"Apa yang menjadi harapan kami adalah kewujudan kampus itu menjadi tarikan kepada warga Johor khususnya untuk merebut peluang belajar di kolej berkenaan berikutan kos belajar di situ jauh lebih rendah berbanding di institusi pengajian tinggi swasta lain," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Maulizan berkata demikian setelah mendengar taklimat khas mengenai perkembangan KPYPJ yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Dr. Saari Md. Nooh di Taman Tampoi Utama di sini.

Beliau berkata, kewujudan kampus itu kelak menawar lebih banyak program baru diperkenalkan dengan mengambil kira perkembangan ekonomi dan sumber manusia semasa.

"Berdasarkan pengamatan, kewujudan kampus itu kelak akan memberi persekitaran dan kemudahan yang selesa untuk para penuntut dengan penuntut tahun pertama dan kedua diberi peluang tinggal di kolej yang mampu menampung kira-kira 1,000 orang,'' katanya.

Menjawab pertanyaan Maulizan berkata, pada keseluruhannya beliau berpuas hati dengan perkembangan dan daya saing yang ada pada KPYPJ.

Sebagai contoh, katanya, ramai graduan KPYPJ diterima baik oleh industri dan kebanyakan mereka mendapat pekerjaan dalam sektor yang berdaya saing.

"Bagaimanapun, masih terdapat banyak ruang yang boleh kami baiki dan pertingkatkan bagi membolehkan kolej berkenaan terus berdaya saing dalam apa juga keadaan," katanya.

 

Dr. Sa'ari menerangkan sesuatu kepada Y.B. Datuk Maulizan Bujang ketika lawatan beliau ke KPYPJ

 

 

Copyright © 2008 www.kpypj.edu.my. All Rights Reserved.