Amanat CEO

rashid

Assalamualaikum W.H.B

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah swt yang mengizinkan semua komitmen dan inisiatif KPYPJ ke arah menjayakan aspirasi kerajaan negeri yang mensasarkan pembangunan masyarakat berilmu dan berkemahiran bagi mendukung peralihan ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan.

Sedekat yang lalu, KPYPJ telah menyumbang kepada pembangunan modal insan bagi melahirkan pekerja-pekerja mahir dan separa mahir khususnya di negeri Johor dan Malaysia amnya terutama dalam bidang-bidang seperti perhotelan, perbankan, senibina, kejuruteraan dan pelancongan.

Transformasi tersusun Maalysia untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 memerlukan sumbangan dan potensi seluruh rakyat Malaysia yang berpengetahuan tinggi atau berkemahiran tinggi. Justeru KPYPJ proaktif memainkan peranannya sebagai salah satu pemain dan pemangkin dalam mencetuskan rangsangan supaya dapat bergerak ke arah kecemerlangan dalam landskap pendidikan dan pembangunan negara.

Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara menjelang tahun 2020 yang dilancarkan pada 2007 merupakan satu titik tolak kepada KPYPJ bagi mencapai satu tanda aras dalam mengadaptasi amalan-amalan terbaik IPT. KPYPJ berusaha membuat pembaharuan dari segi kepimpinan dan governan, memperhebatkan budaya ilmu serta merekayasa sistem pembelajaran agar graduan lebih kompetitif di dalam pasaran.

Akhir kata, KPYPJ akan berusaha untuk mencapai keseimbangan disiplin ilmu dalam bidang akademik, kemahiran dan kemanusiaan agar dapat diperkembangkan secara menyeluruh. Ini bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Negara iaitu memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Sekian.

Tuan Hj. Abdul Rashid Bin A. Rahman Ketua Pegawai Eksekutif KYPJ